BREMER 0 BAYERN 12

Julian Nagelsmann menegaskan masih banyak yang boleh ditawarkan oleh Jamal Musiala selepas pemain remaja itu membintangi kemenangan 12-0 Bayern Munich ke atas Bremer dalam Piala DFB-Pokal, sebentar tadi.


Musiala mencatat dua gol dalam aksi sulung kesebelasan utamanya musim ini ketika juara Bundesliga itu meledak 12 gol ke atas kelab divisyen kelima berkenaan di Weserstadion.

Pemain berusia 18 tahun itu cemerlang melakukan gerakan 1-2 untuk menjelmakan sumbangan kepada penjaring empat gol, Eric Maxim Choupo-Moting, sekali gus memecah kebuntuan perlawanan sebelum menggegarkan gawang lawan dengan rembatan deras dari jarak 20 ela untuk jaringan keduanya selepas rehat.

Pemain remaja Jerman itu kerap mencetuskan ancaman menerusi kepantasannya dan kawalan bola di sayap kanan. Dia hampir meraih hatrik jika rembatannya dalam separuh masa pertama tidak dikeluarkan Jan-Luca Warm di atas garisan.






Pengurus Bayern, Nagelsmann, sudah tentu teruja dengan apa yang ditawarkan oleh pemain akademi itu.

"Jamal memiliki keupayaan yang sangat menarik tetapi ada banyak lagi yang mampu dijelmakannya," kata Nagelsmann kepada laman sesawang rasmi kelab selepas perlawanan itu untuk Bayern memperoleh kemenangan kedua terbesar sejak beraksi dalam Bundesliga pada 1965 -- sebelum ini mereka mengalahkan DJK Waldberg 16-1 di pentas sama.

"Masih banyak potensi dalam diri Jamal. Cara dia mengawal bola bagaikan dia mempunyai magnet di dalam butnya.

"Dia mempunyai kualiti yang hebat. Tidak syak lagi, ini adalah seorang pemain berusia 18 tahun yang sangat berbakat."





Nagelsmann juga memuji tahap prestasi Leroy Sane yang turut mencetak gol selain menjadi arkitek kepada tujuh hantaran penting termasuk dua bantuan jaringan.

Muncul salah seorang daripada empat pemain yang dikekalkan dalam kemenangan ke atas Cologne, kelmarin, bekas penyerang Manchester City itu juga berjaya menyelesaikan 30 dari 38 hantaran penting.

"Dia begitu menonjol; dia bertahan dengan sangat baik dan menjaringkan gol," tambah Nagelsmann.

"Saya rasa dia mampu meledak tiga gol lagi jika pemain lain mengumpan kepadanya; beberapa kali dia berada dalam posisi yang sangat baik.

"Ejekan oleh sebilangan penyokong tidak menggugatnya dan hari ini jelas sekali dia mencapai prestasi terbaiknya. Dia memperagakan segala kemampuannya dan saya sangat gembira."