Pengendali Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan, yakin memiliki ramuan untuk mengatasi Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dalam separuh akhir kedua Piala Cabaran, esok.

Bekas pemain tengah kebangsaan itu menyifatkan hanya kesilapan kecil perlu diperkemaskan pasukannya yang belum mahu menyerah kalah.

Dia turut menjanjikan aksi lebih 100 peratus daripada TFC II dalam mendepani naib juara Liga Perdana yang dibimbing Ervin Boban itu.

"Kekalahan minggu lalu bukan penamat dan kalau JDT II anggap kami akan bagi jalan mudah, mereka silap.

"Saya tetap mengharapkan keajaiban akan berlaku di Pasir Gudang nanti," katanya.

Tumpas 1-2 di tempat sendiri minggu lalu, TFC II memerlukan persembahan luar biasa di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang sekiranya berhasrat untuk meneruskan kemaraan.

Penjaring terbanyak dengan enam gol, Bruno Suzuki, akan mengetuai jentera serangan TFC II manakala Akanni Sunday Wasiu dijangka bermula dari bangku simpanan.

"Dah tak perlu risau atau fikir apa-apa, kami akan teruskan perjuangan.

"Saya yakin barisan pemain sedia ada mampu melakukan kejutan," tambahnya.