Piala Cabaran Antarabangsa: Bangkok United mudah atasi Hanoi

Penulis Jemputan
Januari 18, 2020 11:31 MYT
BANGKOK UNITED 3 HANOI 0
Nattawut Suksum memacu kejayaan Bangkok United untuk menewaskan Hanoi FC 3-0 dalam Kejohanan Piala Cabaran Asia di Stadium Shah Alam sebentar tadi.
Kejohanan selama dua hari itu jelas bukan sekadar aksi pemanas badan buat kedua-dua pasukan sebelum memulakan liga domestik masing-masing.
Aksi sengit sepanjang babak pertama mula memihak pasukan dari Thailand itu dengan Nattawut mudah menolak masuk gol pembukaan pada minit ke-39.
Jaringan penyerang muda itu meningkatkan semangat Bangkok United untuk mendominasi sebahagian besar permainan dalam babak kedua.
Peluang terbaik untuk menggandakan kelebihan itu tidak disia-siakan pemain tengah dari Brazil, Vander Luiz, yang melencongkan bola dari sebelah kanan bagi menewaskan penjaga gol lawan, Nguyen Van Cong, pada minit ke-64.
Guntapon Keereeleang kemudian melengkapkan kemenangan itu menerusi sepakan kaki kanan kencang pada minit ke-83.
Editor: Muzaffar Musa