Piala Belia: TFC IV, Felda kongsi mata

Tengku Danish Bahri
Februari 21, 2018 13:01 MYT
Jaringan minit akhir Muhammad Hisyam Ismail menyelamatkan Terengganu FC (TFC) IV untuk seri 1-1 dengan Felda United dalam aksi pembukaan Piala Belia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, petang tadi.
Awal permainan menyaksikan pelawat terlebih dahulu menguji kubu tuan rumah menerusi tandukan Muhammad Haziq Man yang tinggi melepasi sasaran pada minit pertama.
TFC IV memperkemaskan rentak dan turut berpeluang untuk mendahului pada minit ke-12, namun sepakan percuma Muhammad Syaiful Haqim Shahrul tepat ke dakapan penjaga gol lawan.
Gerakan itu menaikkan moral tuan rumah dan Wan Arif Hakimi Wan Ahmad hampir menceriakan TFC IV tetapi sepakannya pada minit ke-25 dikeluarkan pemain lawan di atas garisan gol.
Tiga minit kemudian, skuad bimbingan Subri Sulong itu terus buntu memecahkan kebuntuan dengan percubaan Muhammad Syaiful sekali lagi cemerlang ditepis Mohammad Faris Danieal Hamzam.
Penyerang Felda, Harith Marzuqi Zailaney, akhirnya meletakkan pasukannya di depan selepas melepaskan diri daripada kawalan pertahanan lawan pada minit ke-57.
Jaringan itu mengejutkan tuan rumah yang beraksi lebih agresif, namun terpaksa menanti sehingga masa kecederaan untuk menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Hisyam.
Keputusan itu jelas mengecewakan jurulatih TFC IV, Subri, yang menyifatkan pemain-pemainnya beraksi di bawah tahap sebenar.
Kegagalan menyudahkan deretan peluang terhidang juga menjadi punca mereka kempunan untuk mengutip tiga mata di halaman sendiri.
“Saya sangat tidak berpuas hati. Kami dibolosi menerusi kesilapan di bahagian pertahanan dan sepatutnya boleh memenangi perlawanan ini dengan peluang-peluang yang dicipta,” katanya.
Pengendali Felda, Shahril Arsat, pula lega dengan kejayaan pasukannya mencuri satu mata di tempat lawan sambil mengharapkan mereka segera memperbaiki kelemahan untuk aksi seterusnya.
“Walaupun seperti tidak adil, kredit wajar diberikan kepada pemain-pemain saya yang menunjukkan semangat juang tinggi untuk mengharungi musim ini,” jelas bekas pemain negara itu.