Berdepan lawan lebih berusia bukan halangan buat SSMP AMD Cougars B-16 mempamerkan kewibawaan tersendiri dalam penampilan Piala Belia musim ini dan ia dibuktikan dengan kedudukan yang baik dalam saingan Kumpulan A.

Kejayaan menewaskan Terengganu FC (TFC) IV 2-1 petang semalam bukan satu kejutan bagi ketua jurulatihnya, Lim Teong Kim, yang menyifatkan skuad bimbingannya memiliki pakej sempurna dan bukan sekadar menjadi pelengkap kejohanan itu.

Bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu menjelaskan setiap perlawanan adalah sukar, namun pendekatan taktikal yang lebih berkesan memisahkan AMD Cougars dengan pencabar lain.

"Kesemua pasukan lawan memiliki kelebihan daripada segi fizikal tetapi kami masih berupaya menunjukkan corak permainan menarik.

"Banyak yang dipelajari pemain-pemain. Malah, perkembangan mereka semakin positif dan saya gembira dengan pasukan ini," ujar Teong Kim.

Aspek teknikal yang diberi penekanan juga membuahkan hasil dengan dua gol dijaringkan AMD Cougars berpunca daripada hantaran pendek dan gerakan yang dimulakan dari bawah persis bola sepak Eropah -- satu identiti baru di yang diterapkan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

Teong Kim menyifatkan gaya permainan itu sesuatu yang berbaloi untuk disaksikan sambil berharap dapat memberikan pulangan yang baik pada masa akan datang.

"Saya tahu kualiti yang ada pada pemain-pemain ini. Sebab itu saya tidak terkejut dengan persembahan mereka.

"Jika penonton menyukai apa yang mereka lihat, ia petanda yang baik," tambahnya.

Skuad AMD Cougars kini di kedudukan keempat saingan Piala Belia dengan mengumpul 19 mata daripada 10 perlawanan, namun masih berkelebihan tiga perlawanan berbanding TFC IV yang menduduki tangga teratas dengan 26 mata.