Jurulatih skuad Piala Belia PKNS FC, Muhd Azrin Mohamed, menyifatkan tiada pasukan akan turun selaku pilihan dalam final kedua bertemu Terengganu FC (TFC) IV, esok.

Katanya dalam sidang media praperlawanan hari ini, tentangan sengit tetap dijangka daripada TFC IV selaku tuan rumah yang akan dibantu sokongan padu penyokong sendiri.

Terikat tanpa jaringan minggu lalu, Azrin turut mengakui pasukan bimbingannya sudah bersedia sekiranya perlawanan diheret ke penentuan penalti.

"Saya menjangkakan 10 hingga 20 minit awal perlawanan pasti hebat dengan kedua-dua pasukan akan mencari gol awal," ujarnya.

Bagi pengendali TFC IV, Subri Sulong, kekecewaan final edisi 2018 kepada lawan sama mahu ditebus di tempat sendiri walaupun akan beraksi tanpa seorang pemain tonggak.

Kehilangan Nur Azfar Fikri Azhar, yang digantung perlawanan setelah mengumpul dua kad kuning, tidak mahu diratapi, sebaliknya yakin memiliki pengganti setanding.

"Kami akan bangkit dan saya sudah memberi motivasi kepada pemain untuk melupakan kekalahan tahun lalu," tambah bekas bek kanan Terengganu itu.