Piala Asia: Uzbekistan tempah slot pusingan kalah mati

Penulis Jemputan
Januari 13, 2019 23:40 MYT
UZBEKISTAN 4 TURKMENISTAN 0
Uzbekistan mara ke pusingan kalah mati Piala Asia selepas melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas Turkmenistan, sekaligus mengungguli Kumpulan F, awal pagi tadi.
Jurulatih Turkmenistan, Yazguly Hojageldyev, menggesa pemain-pemainnya untuk mengelak daripada melakukan kesilapan ketika tewas 3-2 kepada Jepun,namun gagal dilakukan apabila Uzbekistan mempamerkan aksi cemerlang dalam babak pertama perlawanan.
Javokhir Sidikov membuka jaringan pada minit ke-17 selepas menampan masuk hantaran Dostonbek Khamdamov, disusuli Eldor Shomurodov yang menggandakan jaringan tujuh minit kemudian.
Mendapat inspirasi daripada kemenangan 6-0 Qatar ke atas Korea Utara bagi saingan Kumpulan E, Uzbekistan melengkapkan kemenangan dengan dua lagi gol sebelum tamat separuh masa pertama.
Jaloliddin Masharipov melakukan jolokan untuk menjadikan kedudukan 3-0 sebelum Shomurodov mencetak gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu pada minit ke-42.
Otabek Shukurov hampir menambah jaringan menerusi percubaan jarak jauh dalam separuh masa kedua tetapi ia sekadar tersasar.
Selepas menempah tiket ke pusingan seterusnya, tumpuan Uzbekistan kini beralih untuk aksi terakhir berdepan Jepun bagi merebut kedudukan juara kumpulan.
Bagi Turkmenistan, mereka perlu menewaskan Oman untuk menghidupkan peluang sebagai salah sebuah pasukan terbaik yang berada di kedudukan ketiga.