IRAN 3 CHINA 0

Sardar Azmoun memaparkan pesona bintang dengan membantu Iran ke separuh akhir Piala Asia 2019 menerusi kemenangan 3-0 ke atas China dalam aksi suku akhir di Stadium Mohammed bin Zayed, Abu Dhabi, awal pagi tadi.


Penyerang Iran itu membantu jaringan Mehdi Taremi pada minit ke-18 sebelum menjaringkan gol menuju waktu rehat.

Pemain gantian, Karim Ansarifard, memastikan kemenangan Iran menerusi jaringan lewat permainan yang menjamin laluan pasukan pilihan itu ke separuh akhir dan akan bertemu Jepun, Isnin ini.

Marcello Lippi, yang hampir pasti meninggalkan China selepas tamat kejohanan, diberikan tamparan hebat apabila ketiga-tiga gol yang membolosi pasukannya itu berpunca daripada kepincangan bahagian pertahanan.

Iran belum pernah bolos sepanjang kejohanan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu, namun mereka akan kehilangan khidmat Mehdi yang digantung perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning.

China sepatutnya menyedari bencana yang akan menimpa mereka sejurus tandukan awal Sardar diselamatkan Zheng Zhi.

Namun, mereka hanya membiarkan penyerang itu melakukan lambungan yang mudah disudahkan Mehdi -- gol ketiganya sepanjang beraksi di Stadium Mohammed Bin Zayed.

Mehdi turut dinafikan sepakan penalti selepas dijatuhkan Zhang Chengdong sebelum Iran menggandakan jaringan pada minit ke-31.

Sardar memanfaatkan sepenuhnya kelalaian pertahanan lawan dengan melepasi kawalan Yan Junling sebelum menjaringkan gol yang disahkan menerusi sistem video bantuan pengadil (VAR), sekali gus menafikan dia mengasari Liu Yiming sebelum itu.

Lippi bertindak berani untuk mengubah formasi pasukan dalam babak kedua, namun tindakannya meletakkan pemain tengah dalam formasi berpotongan wajik itu tidak memberikan pulangan yang diharapkan.

Iran melengkapkan keputusan perlawanan menerusi jaringan Karim yang masuk menggantikan Sardar.

Pemain gantian itu gagal dikawal Shi Ke sebelum memanfaatkan lorongan Mehdi untuk menjaringkan gol ketiga skuad The Persian Stars itu.