Jurulatih Lubnan, Miodrag Radulovic, mahu pasukannya melakar sejarah apabila menghadapi Korea Utara dalam aksi penentuan Kumpulan E, Piala Asia 2019, tengah malam ini.

Kedua-dua pasukan gagal mencetak sebarang gol atau memenangi mata dalam kempen setakat ini, namun dengan 16 slot yang ditawarkan di peringkat kalah mati, peluang kelayakan mereka tetap bernyala.

Lubnan -- tersingkir di peringkat kumpulan dalam edisi 2000 yang merupakan penampilan tunggal mereka dalam Piala Asia sebelum ini -- bersedia untuk meraih kemenangan yang diperlukan untuk kekal dalam kejohanan, menurut Radulovic.

"Kami berada dalam kumpulan yang sukar," katanya kepada pemberita. "Secara jujurnya, adalah sukar untuk mencuri mata daripada Qatar dan Arab Saudi. Fokus kami kini adalah aksi menentang Korea Utara.

"Ini akan menjadi peluang besar untuk bola sepak Lubnan mencipta sejarah. Saya percaya kepada pemain saya dan mereka akan memberi tumpuan untuk memenangi perlawanan ini, layak ke pusingan seterusnya dan membuatkan penyokong bangga.

"Ia adalah satu perlawanan yang sangat berbeza dan anda tidak boleh membandingkannya dengan perlawanan seterusnya. Pemain saya perlu bersedia untuk memenangi perlawanan ini dan tekanan akan terarah kepada saya. Saya telah membuat persediaan dan mereka akan menjaringkan gol."

Jurulatih Korea Utara, Kim Yong-jun, menjangkakan pertemuan sukar melawan Lubnan tetapi mempunyai keyakinan terhadap pemainnya untuk mempamerkan kualiti mereka di Stadium Sharjah setelah pintu gol mereka ditembusi 10 kali dalam kekalahan kepada Arab Saudi dan Qatar.

"Inilah kali pertamanya format 24 pasukan diperkenalkan," katanya. "Ia baik untuk sukan ini, terutama dalam Piala Asia, kerana ia memberi peluang kepada pasukan lain untuk melayakkan diri dan langkah ini akan mempromosikan pembangunan bola sepak di negara mereka juga.

"Pemain saya sudah bersedia untuk mendapatkan keputusan positif. Mereka cukup bersemangat dan kami bersedia untuk memenangi perlawanan. Tiada sebarang perubahan, kami perlu memberi tumpuan kepada Lubnan dan mendapatkan tiga mata."