QATAR 2 LUBNAN 0

Qatar menewaskan Lubnan 2-0 dalam saingan Kumpulan E, Piala Asia di Stadium Hazza Bin Zayed, Abu Dhabi, awal pagi tadi.


Jaringan menarik daripada Bassam Al Rawi dan Almoez Ali memastikan tuan rumah Piala Dunia 2022 itu membuka kempen Piala Asia kali ini dengan kemenangan.

Lubnan menjaringkan gol yang dibatalkan pengadil dalam babak pertama sebelum Al Rawi menjaringkan gol menarik menerusi sepakan percuma dan Ali memastikan kemenangan menerusi jaringan pada 11 minit terakhir perlawanan.

Lubnan yang dikendalikan Miodrag Radulovic perlu mencari keputusan positif ketika menentang Arab Saudi hujung minggu ini manakala Qatar pula akan berdepan Korea Utara dalam perlawanan berikutnya.

Qatar menguasai perlawanan, namun Lubnan berpeluang mendahului pada minit ke-36.

Bagaimanapun, jaringan tersebut dibatalkan pengadil, Ma Ning, setelah Ali Hamam melakukan kesalahan dalam kawasan penalti ketika menyambut bola sepakan sudut Hassan Maatouk.

Qatar, yang menjaringkan empat daripada enam gol terakhir dalam Piala Asia menerusi sepakan percuma, memecah kebuntuan pada minit ke-65.

Kekasaran yang dilakukan Maatouk dari jarak 20 ela daripada gawang gol Mehdi Khalil mengundang padah apabila Al Rawi meledak gol cantik menerusi sepakan percuma pada minit ke-65.

Ketika Lubnan sedang rancak memburu jaringan penyamaan, Qatar pula melebarkan jaringan selepas Ali memanfaatkan sepenuhnya percubaan awal Abdelaziz Hatim pada minit ke-79.