IRAN 0 IRAQ 0

Iran mengesahkan tangga teratas Kumpulan D, Piala Asia 2019 selepas seri tanpa jaringan dengan Iraq yang turut mengiringi mereka ke pusingan 16.


Dengan kedua-dua pasukan sudah pun menjamin kemaraan mereka sebelum sepak mula di Stadium Al Maktoum, Dubai awal pagi tadi, tidak banyak peluang yang dicipta oleh Iran mahupun Iraq.

Begitupun, menjelang pusingan kalah mati, Ali Faez Atiyah mencetuskan kegusaran jurulatih Iraq, Srecko Katanec, apabila terpaksa diusung keluar dalam babak kedua.

Iran dan Iraq menerusi Mohammad Kanani dan Ahmed Ibrahim merakamkan satu-satunya percubaan tepat dalam separuh masa pertama yang berlangsung hambar.

Selepas kecederaan yang menimpa Atiyah, Mohanad Ali Kadhim hampir meletakkan Iraq di hadapan tetapi rembatannya dari tepi kawasan penalti mudah dipatahkan penjaga gawang, Alireza Beiranvand.

Dengan Iraq semakin terdesak memburu gol untuk merebut kedudukan puncak kumpulan, Ali Adnan Kadhim membuat percubaan dari jarak 35 ela yang tidak menepati sasaran pada minit ke-69.

Bashar Resan Bonyan berpeluang untuk menguji Beiranvand dari sebelah kiri pintu gol, namun percubaannya meliar tatkala skuad kendalian Srecko Katanec itu berusaha mencipta kemenangan.

Beiranvand kemudian cemerlang untuk menepis keluar tandukan Alaa Abbas pada minit ke-77, namun Iraq terus buntu untuk menembusi benteng skuad lawan bimbingan Carlos Queiroz itu meskipun memberi tekanan dalam babak kedua.

Keputusan seri itu bermakna Iraq menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan rekod tanpa kalah buat kali kedua dalam sejarah penyertaan Piala Asia, dengan kali terakhir mereka melakukannya pada 2007 apabila dijulang sebagai juara.