LUBNAN 0 ARAB SAUDI 2

Arab Saudi menempah slot pusingan kalah mati Piala Asia selepas merakamkan kemenangan kedua dalam saingan Kumpulan E apabila mengatasi Lubnan 2-0, awal pagi tadi.


Fahad Al-Muwallad meledak gol dalam dua perlawanan berturut-turut buat skuad bimbingan Juan Antonio Pizzi itu, yang mengatasi Korea Utara 4-0 dalam aksi pembukaan sebelum ini.

Kesilapan yang dilakukan oleh pertahanan Lubnan dimanfaatkan oleh Fawad untuk melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Mehdi Khalil.

Arab Saudi menggandakan bilangan jaringan pada minit ke-67, dengan Hussain Almoqahwi menampan masuk hantaran Hattan Babhir, sekali gus menyaksikan mereka meraih dua kemenangan berturut-turut buat kali pertama sejak 1996 -- tahun terakhir mereka dijulang sebagai juara kejohanan.

Lubnan akan meratapi kekecewaan mereka apabila melepaskan peluang untuk menyamakan kedudukan apabila Joan Oumari yang berada dalam kedudukan terbuka gagal menanduk masuk bola ke dalam gawang gol.

Skuad bimbingan Mio Radulovic itu kekal dalam saingan hasil daripada aksi cemerlang yang ditampilkan oleh penjaga gol, Khalil, yang menafikan beberapa percubaan lawan sebelum Almoqahwi mencetak jaringan kedua untuk memberikan tiga mata buat Arab Saudi.

Juara Asia tiga kali itu akan menyempurnakan saingan kumpulan dengan aksi bertemu Qatar, yang berdepan Korea Utara terlebih dahulu malam ini.