Ketua jurulatih Korea Selatan, Paulo Bento, mahu pasukannya mengambil pendekatan proaktif ketika mementang Kyrgyzstan bagi mengekalkan penguasaan mereka dalam Kumpulan C, Piala Asia.

Selepas dilihat sebagai pasukan pilihan menjulang kejuraan edisi ini, Korea Selatan hanya memperoleh kemenangan tipis 1-0 ketika menentang Filipina, Isnin lalu.

Aksi menentang Kyrgyzstan di Al Ain malam ini bakal menjadi medan untuk mereka kembali mengaum.

Dan Bento, yang kehilangan pemain tengah Newcastle United, Ki Sung-yueng, ekoran kecederaan paha mahu pasukannya mula mengorak langkah.

"Terdapat dua pasukan lain yang memperoleh mata dalam perlawanan pertama, namun kami mempunyai kelebihan kerana memenangi perlawanan pembukaan.

"Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk layak ke pusingan kedua.

"Bagaimanapun, saya menjangkakan ujian sukar bakal disajikan Kyrgyzstan.

"Mereka pasti akan bertahan sebaik mungkin dan mencari peluang untuk melakukan serangan balas.

"Kami akan menyerang sebanyak mungkin untuk memungut tiga mata.

"Caranya masih sama, mengasai permainan dan meraih kemenangan dengan corak menyerang," katanya.

Kemenangan Korea Selatan akan menamatkan saingan Kyrgyzstan selepas mereka tewas 1-2 kepada China dalam perlawanan pertama.

Ketua jurulatihnya, Alexsandr Krestinin, enggan terkesan dengan tekanan tinggi itu dan menjelaskan telah menemui jalan penyelesaian bagi merawat masalah kerapuhan pasukannya itu.

"Kami sudah mengkaji bagaimana Filipina beraksi menentang Korea Selatan sebelum ini.

"Namun, kami tidak boleh beraksi seperti mereka.

"Kami mempunyai cara lain untuk menghadapi Korea Selatan.

"Kami tahu kelemahan mereka selepas mengkaji kekuatan pasukan itu.

"Tiada pasukan tanpa kelemahan," katanya.