INDIA 0 BAHRAIN 1

Bahrain layak ke pusingan 16 Piala Asia menerusi jaringan penalti Jamal Rashed pada masa kecederaan untuk meraih kemenangan 1-0, sekali gus menyingkirkan India, awal pagi tadi.


The Blue Tigers dalam perjalanan melepasi peringkat kumpulan buat kali pertama dalam sejarah ketika perlawanan terikat tanpa jaringan selepas permainan melewati 90 minit di Stadium Sharjah.

Bagaimanapun, suasana berubah apabila Hamed Alshamsan dijatuhkan oleh kapten India, Pronay Halder, dalam kotak penalti sebelum Rashed bertindak selaku peledak jaringan untuk memenangi perlawanan itu buat Bahrain.

Sayed Dhiya Saeed sebelum itu melepaskan beberapa percubaan untuk menjaringkan gol untuk Bahrain, yang telah mencetak hanya satu gol dalam dua perlawanan sebelum ini.

Ketika Bahrain mengasak untuk mencari gol pembukaan, Ali Jaafar Madan berpeluang untuk meledak gol tetapi percubaannya pada minit ke-49 tersasar.

Penalti yang disempurkan Rashed pada masa kecederaan itu memastikan Bahrain melangkah ke pusingan seterusnya manakala India tersingkir apabila berada di tangga tercorot Kumpulan A.