MALAYSIA 0 VIETNAM 2

Skuad B-23 negara menamatkan kempen Piala Asia B-23 2022 (2022 U-23 Asian Cup) tanpa sebarang kemenangan apabila tewas 0-2 kepada Vietnam di Stadium Lokomotiv, Tashkent sebentar tadi.

Selepas tewas 1-4 kepada Korea Selatan dalam aksi pertama dan 0-3 kepada Thailand dalam perlawanan kedua Kumpulan C itu, Malaysia sememangnya tidak lagi berpeluang untuk ke suku akhir tetapi kemenangan dalam perlawanan terakhir menentang Vietnam kali ini sekurang-kurangnya mampu menjadi pengubat duka buat skuad bimbingan Brad Maloney berkenaan.

Bagaimanapun, hasrat itu mula musnah apabila Nham Manh Dung menanduk masuk lintangan Nguyen Thanh Nhan untuk meletakkan Vietnam di depan pada minit ke-29.

Malang berganda menimpa skuad negara menjelang waktu rehat apabila pengadil dari Sri Lanka, Hettikamkanamge Perera, memberikan sepakan penalti buat Vietnam dan kad merah buat pertahanan negara, Hairiey Hakim Mamat, selepas rujukan video bantuan pengadil (VAR) mendapati bola terkena tangan pemain itu.

Kapten Vietnam, Bui Hoang Viet Anh, memanfaatkan sepenuhnya peluang berkenaan untuk pasukan Naga Emas berkenaan berkelebihan dua jaringan sebelum ke bilik persalinan.

Dengan kemenangan itu, Vietnam mengiringi Korea Selatan ke suku akhir sebagai naib juara Kumpulan E manakala Malaysia pula terpaksa akur menamatkan kempen di tangga tercorot tanpa sebarang mata.