Isu luar padang melibatkan masa depan ketua jurulatih skuad B23 negara, Brad Maloney, tidak menggangu fokus pengendali kelahiran Sydney, Australia, itu sebaliknya melancarkan misi balas dendam ke atas Vietnam yang menamatkan hasrat skuad negara dalam misi buruan ibu segala emas Sukan SEA Hanoi.

Biarpun kempen Piala Asia di bumi Uzbekistan sudah berakhir buat skuad negara, namun aksi ketiga Kumpulan C, lebih daripada sekadar aksi pelengkap jadual -- malah Maloney beri bayangan akan merombak kesebelasan utamanya berdepan Vietnam esok.

Skuad kendalian Maloney bagaikan harimau yang terluka, justeru aksi bertemu Vietnam jadi pentas kebangkitan serta memperbaiki imej yang tercalar itu -- apatah lagi selepas dibolosi tujuh gol dalam dua aksi.

Di atas kertas, skuad negara sekali lagi berdepan ranjau berliku berdepan generasi emas skuad Vietnam yang berjaya mempertahankan status terbaik di Asia Tenggara namun Maloney taruh keyakinan skuad kendaliannya merealisasikan misi balas dendam ke atas pasukan bimbingan Gong Oh-kyun.

Sementara itu, Maloney berkongsi pendekatan dan percaturan pada aksi terakhir Kumpulan C esok -- melibatkan aspek rombakan pemain selepas mengharungi dua aksi kompetitif di peringkat Asia.

Maloney juga enggan menekan butang panik mengenai status pasukan kendaliannya yang masih lagi dalam proses pembelajaran malah muncul antara pasukan termuda pada kempen kali ini, sudah pasti ianya satu pengajaran berguna menentang pasukan seperti Vietnam.