AUSTRALIA 0 JORDAN 1

Juara bertahan, Australia, dikejutkan Jordan dalam aksi pembukaan edisi ini selepas tewas 0-1 di Stadium Hazza Bin Zayed, Abu Dhabi, sebentar tadi.


Jaringan Anas Bani Yaseen dalam separuh masa pertama sudah cukup untuk memastikan tiga mata pertama milik Jordan selepas skuad kendalian Graham Arnold itu gagal melakar kebangkitan sepanjang baki aksi.

Ia bukanlah permulaan idaman buat The Socceroos apabila kehilangan beberapa tonggak utama seperti Aaron Mooy, Mathew Leckie, Martin Boyle dan Andrew Nabbout menjelang pembukaan kempen kali ini.

Kehilangan itu jelas membantutkan perancangan Arnold dalam menyediakan skuad sempurna ketika berdepan Jordan.

Bagaimanapun, Australia kekal menguasai perlawanan di Abu Dhabi itu dan hanya kekurangan dalam aspek penyudah.

Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya Jordan dalam menghasilkan gol tunggal perlawanan selepas Bani Yaseen yang tidak dikawal menanduk kencang bola daripada sepakan penjuru.

Socceroos berkemungkinan menempa aib lebih besar andai Maty Ryan gagal menolak keluar sepakan percuma Baha'a Abdel Rahman yang terkena palang gol tidak lama selepas itu.

Juara bertahan itu mencuba untuk bangkit, namun mereka dinafikan sepakan penalti selepas hantaran lintang Robbie Kruse terkena tangan Feras Shelbayeh.

Protes yang cuba dilakukan barisan pemain Australia jelas tidak membuahkan hasil memandangkan sistem video bantuan pengadil (VAR) hanya akan digunakan selepas peringkat suku akhir kejohanan itu.

Dengan kekalahan itu, Australia kini berada dalam tekanan tinggi menjelang aksi kedua menentang Palestin, Jumaat ini.

Jordan pula akan bertemu Syria sehari lebih awal.