Pemain tengah Afghanistan, Mustafa Zazai, berazam membantu negaranya menumpaskan Oman dalam perlawanan pembukaan Piala Airmarine di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.

Mustafa, yang sudah memiliki 20 penampilan bersama negaranya dan beraksi dengan The Red Warriors (TRW) dalam saingan Liga Perdana musim ini, mahu menggunakan segala pengalaman yang ada untuk memburu jaringan ke atas pasukan yang berada di ranking ke-90 Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu.

"Menjadi kebanggaan buat saya untuk beraksi mewakili negara sendiri dalam Piala Airmarine.

"Oman sebuah pasukan yang baik dan lebih tinggi rankingnya tetapi kami yakin mampu mengejutkan mereka untuk ke final," ujarnya.

Ditanya pasukan mana yang ingin dihadapinya dalam final, Mustafa tidak teragak-agak memilih tuan rumah, Malaysia, berbanding Singapura.

"Cukup menarik kalau kami (Afghanistan) bertemu Malaysia dalam final. Anda boleh bayangkan kehangatan aksi tersebut," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mustafa meluahkan perasan sedihnya terhadap peristiwa tembakan dalam masjid di Christchurch, New Zealand, yang mengorbankan 50 jemaah.

"Saya sangat terkejut dan sedih bila mendengar berita tersebut. Satu perbuatan yang biadap yang dilakukan di dalam tempat suci," katanya.

Untuk rekod, Afghanistan dipilih oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggantikan Kepulauan Solomon yang terpaksa menarik diri daripada kejohanan antarabangsa empat negara, Piala Airmarine, dari 20 hingga 23 Mac ini.


Kredit Foto: Abe Jera