Piala Airmarine: Malaysia raih tempat ketiga

Penulis Jemputan
Mac 23, 2019 11:01 MYT
MALAYSIA 2 AFGHANISTAN 1
Malaysia meraih tempat ketiga dalam edisi pertama Kejohanan Bolasepak Piala Airmarine selepas menundukkan Afghanistan 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Jaringan jarak jauh gemilang Faiz Nasir serta gol sendiri Abassin Alikhil memadamkan kelebihan awal Afghanistan daripada gol pembukaan sensasi Faysal Shayesteh dalam babak pertama.
Beraksi dalam hujan lebat di Bukit Jalil itu, Malaysia sepatutnya di depan pada minit ketujuh, namun Norshahrul Idlan Talaha gagal menyudahkan hantaran lintang Mohamadou Sumareh.
Peluang seterusnya hadir pada minit ke-26 dengan sepakan percuma Akram Mahinan menuju tepat ke arah penjaga gol Afghanistan, Ovays Azizi.
Kegagalan Malaysia itu dimanfaatkan pelawat untuk membuka jaringan menerusi Faysal yang melakukan sepakan lencong jarak jauh yang menewaskan kapten negara, Khairul Fahmi Che Mat, pada minit ke-32.
Menjelang dua minit sebelum ke bilik persalinan, Faiz yang tidak dikawal menerima hantaran daripada Halim Saari sebelum melakukan rembatan kaki kiri dari jarak 25 meter yang sempat terkena palang gol Ovays untuk Malaysia kembali mengikat kedudukan.
Momentum itu dimanfaatkan Hadin Azman untuk melakukan percubaan dalam waktu kecederaan separuh masa pertama, namun ia menuju tepat ke dakapan Ovays.
Hadin terus menjadi ancaman buat barisan pertahanan Afghanistan dalam separuh masa kedua dengan dia melakukan percubaan yang menuju ke sisi luar gawang lawan pada lima minit pertama babak tersebut.
Dia kemudian memperoleh peluang satu lawan satu dengan Ovays, namun gagal memanfaatkan peluang terhidang di depan gawang pada minit ke-65.
Tekanan berterusan yang diberikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu akhirnya membuahkan hasil selepas hantaran lintang pemain gantian, Matthew Davies, ditolak ke gawang sendiri oleh Abassin pada minit ke-84.
"Kemenangan hari ini penting untuk melonjakkan semangat kami.
"Pemain telah memberikan tumpuan dan keazaman yang tinggi untuk memenangi perlawanan ini.
"Kami mendominasi permainan dalam babak kedua dan perlu mengekalkan momentum itu bagi menghadapi perlawanan yang akan datang," kata Cheng Hoe.
"Saya langsung tidak gembira dengan keputusan pengadil dalam perlawanan ini," kata jurulatih Afghanistan, Anoush Dastgir.
"Kami dinafikan dua sepakan penalti, sekurang-kurangnya kami diberikan satu. Tapi kami perlu akur kejohanan ini dianjurkan Malaysia."