Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan penganjuran kejohanan empat penjuru Piala Airmarine 2019 bukan bertujuan menggantikan kejohanan berprestij, Pestabola Merdeka.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata Piala Airmarine 2019 yang julung kali dianjurkan itu merupakan usaha tambahan FAM dalam memperbanyakkan perlawanan antarabangsa yang berkualiti untuk skuad kebangsaan.

Katanya, kejohanan Piala Airmarine dari 20 hingga 23 Mac itu merupakan platform untuk memberi saingan lebih kompetitif buat skuad kebangsaan meraih seberapa banyak pendedahan dan mata untuk memperbaiki ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Kejohanan ini akan menjadi kesinambungan buat skuad kebangsaan yang telah berjaya menyinar dalam Piala AFF Suzuki tahun lalu untuk memulakan satu pelan pembangunan yang komprehensif dan menjadi pasukan disegani,” katanya dalam sidang media mengenai kejohanan Piala Airmarine 2019 di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata FAM masih menyimpan hasrat untuk menghidupkan semula Pestabola Merdeka selepas tidak dilangsungkan selama lima tahun tetapi bukan dalam tempoh terdekat memandangkan kebanyakan negara luar tidak dapat memberikan komitmen kerana berdepan jadual liga yang padat tahun ini.

Sebagai rekod, Pestabola Merdeka yang diperkenalkan pada 1957, dianjurkan buat kali terakhir pada 2013.

Dalam saingan Piala Airmarine, Yusoff berkata pasukan di ranking ke-143 dunia, Kepulauan Solomon akan menggantikan New Zealand untuk melengkapkan senarai empat pasukan bertanding selain Oman dan Singapura.

“New Zealand ada perlawanan pada 17 Mac dan hanya boleh tiba di sini sehari sebelum tarikh yang kita pilih. Kalau kita nak tangguh tarikh tersebut ia akan melibatkan pasukan kelab dalam negara, jadi kita terpaksa mencari pasukan lain.

“Walaupun digantikan dengan Kepulauan Solomon, rankingnya lebih baik daripada kita, jadi mereka bukan sebuah pasukan yang boleh dianggap mudah. Mereka tetap boleh beri saingan kepada skuad kebangsaan,” katanya.

Piala Airmarine 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil itu akan menggunakan format kalah mati dengan kejohanan akan bermula seawal pusingan separuh akhir.

-- BERNAMA