Afghanistan, yang berada di ranking ke-147 dunia, dipilih sebagai pasukan baru bagi menggantikan Kepulauan Solomon dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Airmarine 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 20 hingga 23 Mac ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, dalam satu kenyataan hari ini berkata Persekutuan Bolasepak Kepulauan Solomon (SIFF) telah menghubungi FAM semalam dan memaklumkan mereka terpaksa menarik diri kerana terlepas pandang aksi persahabatan antarabangsa negara itu menentang Taiwan, 24 Mac ini.

Beliau berkata Ketua Pegawai Eksekutif SIFF, Leonard Pala, memaklumkan bahawa perlawanan antarabangsa dengan Taiwan itu telah mendapat kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Kondeferasi Bolasepak Oceania (OFC) dan oleh itu, mereka tidak dapat menyertai Piala Airmarine 2019.

Beliau berkata ketiadaan Kepulauan Solomon, yang berada di ranking ke-143 dunia,​​​​​​ tidak akan menjejaskan kualiti pertandingan memandangkan standard di antara mereka dengan Afghanistan tidak banyak berbeza.

Selain tuan rumah, Malaysia, dan Afghanistan, pertandingan empat negara tersebut disertai Oman yang menduduki ranking ke-90 dunia dan Singapura (ranking ke-165).

Undian perlawanan akan diadakan Isnin ini.

Mengikut format kejohanan yang julung kali dianjurkan itu, pasukan yang menang akan bertemu dalam final pada 23 Mac manakala pasukan yang kalah akan mengharungi perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari yang sama.

-- BERNAMA