Jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, tidak gusar dengan kejayaan Indonesia mengikat juara bertahan, Vietnam tanpa jaringan sekalipun keputusan itu tampak jadi satu amaran buat Harimau Malaya menjelang 'derby' Nusantara Ahad ini.

Malah, Cheng Hoe dalam perkongsiannya bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, juga menafikan pasukannya berada dalam tekanan memuncak untuk melunaskan misi wajib menang berdepan skuad Garuda.

Tiada pilihan, anak buah Cheng Hoe perlu menewaskan Indonesia pada perlawanan terakhir kumpulan untuk meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir.

Ini susulan skuad bimbingan Shin Tae-yong berjaya mencuri satu mata berharga bertemu Vietnam dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bishan semalam.

Situasi semasa jelas meletakkan barisan pemain negara lebih tertekan berbanding Indonesia yang hanya memerlukan keputusan seri dalam aksi terakhir itu nanti.

"Ia merupakan misi wajib menang bagi kami. Kami perlu menghadapi perlawanan ini dengan tumpuan yang terbaik. Ia merupakan satu cabaran dalam bola sepak, jika mahu melangkah jauh, fikiran perlu sentiasa positif," kata Cheng Hoe.

Mengulas mengenai perkembangan pasukan, Cheng Hoe mengesahkan pertahanan FC Midtjylland, sudah melapor diri sejurus tiba di Singapura hari ini.

Manakala, pemain sayap Akhyar Rashid dijangka kembali menyertai pasukan pada Jumaat untuk melengkapkan senarai 22 pemain menentang Indonesia.

"Saya telah bertemu Cools dan dia kelihatan pada tahap terbaik, kami berharap dia akan memberikan keseimbangan dalam pasukan.

"Mengenai Akhyar, dia akan menamatkan kuarantin esok dan diharap akan kembali menjalani latihan bersama pasukan."