"Barisan negara kali ini mirip skuad edisi Piala AFF 2010!" Demikian keyakinan dilaungkan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, menjelang aksi pembukaan Kumpulan A berdepan Kemboja, Khamis ini.

Pandangan Khairul Fahmi itu berlandaskan pengalamannya beraksi dalam saingan Piala AFF kelimanya sejak 2010.

Selain penjaga gol Melaka United tersebut, penyerang Pahang, Norshahrul Idlan Talaha, adalah antara pemain yang membentuk skuad juara 2010 dan kekal dalam barisan negara dalam edisi kali ini.

Khairul Fahmi berasakan barisan kendalian Tan Cheng Hoe kali ini berdaya saing dan turut seimbang di setiap posisi.

"Pasukan kali ini lebih baik daripada barisan edisi 2010 berikutan kehadiran ramai pemain muda dan senior.

"Kami bukan sahaja ingin mara jauh, malah mahu memenangi Piala AFF," katanya.

Bekas pemain Kelantan itu tiba di Phnom Penh dengan skuad kebangsaan hari ini sambil memberi fokus untuk memulakan kempen kali ini dengan kemenangan.

Dalam aksi persahabatan September lalu, Malaysia bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum membenam Kemboja 3-1.

Namun, Khairul Fahmi mengakui mereka perlu tampil lebih ampuh kali ini.

"Kami perlu elak dibolosi lebih awal dan kalau boleh, menyumbat gol terlebih dahulu untuk menambah keyakinan dan meletakkan kami dalam kedudukan lebih selesa dalam kempen kali ini," katanya lagi.