Kelab Liga Malaysia (Liga-M) diharapkan dapat melepaskan pemain yang dipilih pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon, untuk menggalas cabaran negara dalam saingan Piala AFF 2022 bermula 20 Disember depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi, menegaskan pelepasan pemain dapat membantu memudahkan Pan-gon membentuk pasukan yang lebih mantap bagi cabaran berkenaan.

"Tindakan pasukan melepaskan pemain mereka dapat membantu ketua jurulatih membuat perancangan rapi untuk Piala AFF, walaupun kejohanan itu tiada dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)," katanya sempena Program Hari Bolasepak Suparimau FAM di Stadium Mini Pendang hari ini.

Mengenai calon pengganti bekas jurulatih kecergasan Harimau Malaya, Dr Gokhan Kandemir, yang melepaskan jawatannya bulan lalu, Mohd Yusoff berkata: “FAM serahkan kepada Pan-gon untuk buat pilihan supaya calon yang dipilih itu senang untuk bekerja bersamanya.

“Dia akan bawa calon itu berjumpa kami sebelum ia dimuktamadkan dan dipersetujui seluruh kepimpinan FAM,” katanya lagi

Kredit: Sinar Harian