'Jangan memperbesarkan isu ini', itu reaksi bekas pemain bola sepak negara, Asmawi Bakiri, merujuk kepada situasi yang dilalui di kem negara ketika ini -- sebaliknya menyeru perbalahan di luar padang harus dihentikan serta-merta.

Enggan memanjangkan perbezaan pendapat melibatkan isu pemain tidak melaporkan diri di kem kebangsaan untuk apa jua alasan dikemukakan -- Asmawi berasakan ini masa yang terbaik untuk Kim Pan-gon membuktikan kredibiliti selaku ketua jurulatih Harimau Malaya.

Kecoh di ruangan media sosial apabila rata-rata peminat bola sepak negara mempersoal ketiadaan kelompok besar pemain terbaik menjelang dua aksi persahabatan serta saingan Piala AFF 2022.

Biarpun mengakui skuad negara ketika ini menawarkan kualiti berbeza berbanding saingan kelayakan Piala Asia yang lalu -- Asmawi kekal optimis kekuatan sepasukan masih berupaya untuk mencabar kejuaraan Piala AFF jika prestasi bersama pasukan di Liga Malaysia jadi ukuran.

"Pada pandangan saya, isu ini tidak seharusnya dipanjangkan, keutamaan sekarang adalah kepada pasukan. Mana-mana pemain yang telah bersama pasukan negara, mereka berpeluang untuk membuktikan kemampuan," kata Asmawi menerusi Nadi Arena.

"Isu ini hanyalah melibatkan jadual perlawanan antara kelab dan bagi aksi antarabangsa. Pada pandangan saya, dengan barisan pemain sedia ada, mereka berkemampuan untuk mara jauh dalam sainga kali ini. Mereka yang terpilih merupakan antara yang sudah dikenali Pan-gon."

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain negara, Nizaruddin Yusof, terpanggil untuk membicarakan kekuatan jentera serangan berwajah baru diterajui Darren Lok selaku penggempur utama -- dalam masa sama, Nizaruddin turut berpendapat -- pemain yang dipanggil mempunyai kualiti tersendiri untuk diketengahkan.

"Setiap kali terdapat panggilan kem latihan skuad kebangsaan, selalunya barisan pemain terbaik negara berkumpul bagi membuat persiapan menghadapi aksi antarabangsa," kata Nizaruddin.

"Pada pandangan saya, skuad negara mungkin berdepan masalah untuk menurunkan skuad terbaik namun ia tidak menjejaskan peluang negara untuk menghadirkan persembahan terbaik dalam kejohanan kali ini."