Selepas tertunda akibat COVID-19, saingan tertinggi bola sepak Asia Tenggara, Kejohanan Piala AFF bakal mengembalikan kemeriahannya hujung tahun ini.

Melalui undian yang berlangsung hari ini, Malaysia diramal berdepan laluan mencabar selepas diundi bersama Vietnam dan Indonesia dalam Kumpulan B.

Mirip kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023, cabaran terbesar Harimau Malaya sudah tentunya menerusi Vietnam yang menguasai dua aksi terakhir apabila menang 1-0 dan 2-1.

Malah, skuad Naga Emas jugalah yang memberikan kekecewaan kepada mereka dalam final Piala AFF 2018.

Kali terakhir Malaysia menang ke atas Vietnam adalah pada 2014, iaitu ketika era Dollah Salleh sebagai ketua jurulatih.

Sementara bagi musuh ketat, Indonesia, peluang anak buah Tan Cheng Hoe dilihat lebih baik apabila dua aksi terakhir memihak Harimau Malaya.

"Vietnam kini mengharungi peringkat ketiga kelayakan Piala Dunia jadi mereka berada di tahap berbeza.

"Kami juga sedang pantau pasukan lain dan saya berharap pemain yang dipanggil kali ini dapat berikan sumbangan terbaik.

"Format kejohanan kali ini agak berbeza disebabkan tiada siapa COVID-19 akan berlarutan. Format edisi 2018 memberi motivasi terbaik kepada pemain kerana dapat beraksi dua kali di tempat sendiri dan lawan.

"Kalau dalam format karnival sekalipun, kami perlu fokus setiap perlawanan dan persiapan pasukan," katanya di Nadi Arena.





Melengkapkan cabaran ialah dua pasukan yang mampu menghadirkan kejutan ialah Kemboja dan Laos.

Saingan dwitahunan itu bakal berlangsung dari 5 Disember sehingga 1 Januari depan dengan format pertandingan diubah kepada satu negara sahaja yang akan bertindak sebagai lokasi kesemua aksi.

Malaysia perlu menekankan persiapan rapi jika berhasrat untuk mengatasi rintangan bergelar muncul juara.

"Kami mendapat undian seimbang dengan dua pasukan berpeluang mara ke separuh akhir.

"Kejohanan macam ini sesuai untuk semua, yang penting adalah persiapan pasukan.

"Kami sudah bertemu Vietnam beberapa kali baru-baru ini jadi kami tahu kelebihan dan kelebihan mereka, begitu juga Indonesia," kata tonggak negara, Syahmi Safari.

Pertahanan negara, Junior Eldstal, juga menyuarakan faktor persiapan terbaik buat kem negara tetapi Malaysia perlu berwaspada dengan keampuhan Thailand.

"Kita tahu liga Thailand berada di tahap berbeza di Asia Tenggara.

"Liga mereka tidak dihentikan walaupun penularan COVID-19 dan mereka juga ada peluang," katanya.