Pemain pertahanan negara, Dominic Tan, enggan menjadikan teguran bekas pertahanan negara, Shukor Adan terhadap aksinya di atas padang sebagai pembunuh semangat menjelang pertemuan dengan Indonesia dalam aksi Piala AFF Ahad ini.

Menjawab persoalan yang diajukan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, bekas pemain Police Tero FC itu menerima segala pandangan dengan hati terbuka dan kini fokus dalam membentuk gandingan ampuh bersama Dion Cools.

Persembahan Dominic ketika menggantikan Aidil Zafuan yang mengalami kecederaan dalam perlawanan menentang Vietnam tempoh hari mendapat perhatian Shukor.

Ini kerana pertahanan baru Sabah FC itu gemar meletakkan tangan di belakang ketika menunggu hantaran lawan selain bertindak menggunakan badan berbanding kaki ketika membuat hadangan.

Tatkala tindakan itu dipertikai oleh Shukor,, Dominic tidak cepat melatah, malah bersedia untuk mengelak kesilapan sama berulang untuk aksi seterusnya bertemu skuad Garuda.

"Setiap orang memiliki pendapat masing-masing, saya telah menilai semua persembahan itu dan mahu memperbaikinya dalam perlawanan akan datang. Saya kata-kata yang dilontarkan saya terima dengan baik," kata Dominic.

Sementara itu, jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, menegaskan anak buahnya perlu bersiap sedia berdepan provokosi Indonesia terutamanya media negara itu.

Ini kerana, pertemuan dua musuh tradisi itu sering mencetuskan drama luar padang seperti yang berlaku sebelum ini, apatah lagi aksi terakhir kumpulan itu nanti tampak menentukan nasib kedua-dua pasukan.

"Pengalaman lalu ternyata hadir menjelang perlawanan selepas ini. Kami perlu fokus kepada perlawanan, sebarang apa yang berlaku di luar padang, bukan atas kawalan kami," kata Cheng Hoe.