Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, mengesahkan penyerang Petalign Jaya (PJ) City, Darren Lok, terpaksa digugurkan ekoran kecederaan sementara pertahanan Terengganu, Muhammad Arif Fadzilah Abu Bakar, menangguhkan hasrat untuk melaporkan diri pada hari ini.

13 daripada 15 pemain menjalani latihan fasa kedua di ibu negara ketika ini untuk menghadapi aksi sulung Piala AFF 2020 bertemu Kemboja di Singapura, 6 Disember depan.

Cheng Hoe tidak bercadang untuk memanggil pengganti selepas dia kehilangan khidmat Darren akibat kecederaan perut sementara Arif Fadzilah hanya akan melaporkan diri di Wisma FAM esok.

Sembilan lagi pemain yang terdiri daripada tonggak Johor Darul Ta'zim dan Kuala Lumpur City bakal menyertai kem Rabu depan sebaik perlawanan akhir Piala Malaysia 2021.

"Atas nasihat pasukan perubatan, Darren Lok tidak dapat bersama skuad kebangsaan. Dia berasa sedih kerana sedang dalam prestasi yang baik.

"Pagi tadi juga Arif Fadzilah meminta cuti sehari atas sebab kurang sihat dan saya memahami situasi tersebut, saya berharap dia dapat melaporkan diri keesokan harinya," kata pengendali negara itu petang tadi.





Sementara itu, penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Fauzi, mengakui bukan mudah untuk merebut tempat di jentera serangan memandangkan dia baru sahaja pulih sepenuhnya dari kecederaan.

Pemain berusia 27 tahun tersebut sudah terlepas beberapa panggilan skuad kebangsaan pada musim ini gara-gara retak tulang keting, awal Mei lalu.

"Semua tahu saya baru pulih daripada kecederaan, mungkin kurang minit permainan jadi agak sukar untuk saya bersaing dengan yang lain.

"Saya harus positif walaupun tidak di tahap seperti sebelum ini. Saya harap dapat kembalikan (sentuhan) macam dulu," kata penggempur Selangor itu.

Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Singapura pada Jumaat depan.

Kredit imej: PJ City FC