Ketua jurulatih B-19, Hassan Sazali Waras, mengisytiharkan pertemuan menentukan gelaran Kejohanan Piala AFF dengan Laos sebagai misi balas dendam berbekalkan kemenangan motivasi ke atas pasukan pilihan, Vietnam, petang semalam.

Menjelang pertemuan final di Stadium Patriot Candrabhaga, Jakarta, malam esok, skuad pelapis Harimau Malaya itu tewas tipis 0-1 kepada lawan serupa ketika di peringkat Kumpulan B selepas Hassan bertindak merehatkan beberapa tonggak utama.

Sehubungan itu, ketua jurulatih pasukan FAM-MSN dalam kancah Liga Perdana musim ini tersebut tiada khuatir dengan kemampuan lawan biarpun tidak mendabik dada.

"Saya tidak fikir di antara Thailand dan Laos ini ada perbezaan ketara.

"Laos mempunyai persiapan rapi kerana mereka akan menjadi tuan rumah kepada Piala AFC B-19, September depan.

"Mereka ada kekuatan sendiri dan daripada segi pembangunan, mereka bertambah baik.

"Moral pemain negara dalam keyakinan yang tinggi menjelang perlawanan akhir esok dengan kemenangan 3-0 ke atas Vietnam dan saya tajub rentak ini akan terus dibawa," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.




Hassan turut mengintai peluang untuk mengukir sejarah peribadi memenangi trofi pertama dalam kariernya dalam bidang kejurulatihan.


"Saya agak lama dalam program bola sepak negara. sejak 2009 bersama program Harimau Muda.

"Sewaktu itu saya menjadi pembantu jurulatih kepada Datuk Ong Kim Swee dan ini adalah kali pertama saya bertindak sebagai pengendali.

"Kalau dapat berikan kejuaraan untuk negara dalam edisi ini, ia akan jadi kemenangan manis buat saya di peringkat kebangsaan," katanya.