Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia bertoleransi dengan keperluan skuad B-23 negara ketika menempuhi kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di antara 24 Januari hingga 1 Febuari depan.

Walaupun tiada alasan untuk mana-mana pasukan melepaskan pemain -- sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Remaja AFF di Kemboja yang bermula 24 Februari depan -- badan induk itu memilih untuk berlembut dan ia dinyatakan Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar.

"Dia juga bersetuju sebab Brad Maloney sendiri ada mengatur perancangan dari Australia.

"Kami akan berjumpa dengan persatuan negeri untuk berbincang bagi mendapatkan situasi menang-menang.

"Mungkin pada masa tertentu kami akan gunakan pemain berbeza. Kami tidak boleh berkeras agar kelab melepaskan pemain ," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Jurulatih B-23, Maloney, mengakui lega dengan tempoh masa yang diberikan selepas berdepan dengan kesukaran untuk mengumpul pemain pada Ogos tahun lalu.

"Adalah lebih baik kami dapat mengumpul pemain dengan secepat mungkin selain mengadakan beberapa perlawanan bagi menguji pemain.

"Saya berpandangan terdapat banyak perlawanan antarabangsa yang akan dibatalkan ketika ini, tapi saya masih berharap dapat mengatur aksi berkualiti dalam tempoh itu," katanya pula.




Dalam perkembangan berbeza, FAM sudah pun menyerahkan laporan mereka kepada jawatankuasa badan bebas yang akan membuat bedah siasat atas kegagalan dalam Piala AFF bulan lalu.

Saifuddin menjanjikan ketelusan sebagai keutamaan ketika pembentangan dan konklusi daripada hasil bedah siasat yang dijangka akan diumumkan bulan depan.

"Tiada had berapa kali mesyuarat itu diadakan, terpulang kepada jawatankuasa," katanya lagi.