Dua tonggak muda negara, Harith Haikal Adam Afkar dan Ahmad Zikri Khalili, percaya Malaysia berpeluang untuk mencipta kejayaan dalam Piala AFF B-23 2022 selepas mendapat undian seimbang.

Kedua-dua pertahanan Selangor itu, bagaimanapun, menegaskan mereka tidak boleh bersikap sambil lewa ketika menghadapi setiap pasukan biarpun Indonesia tampak menjadi pencabar utama buat skuad muda negara di peringkat Kumpulan B.

"Laos dan Myanmar mempunyai kekuatan masing-masing.

"Mereka mempunyai ramai pemain berbakat dan program pembangunan mereka juga bagus.

"Malaysia tidak boleh pandang rendah pasukan seperti Myamar dan Laos.

"Kalau pemain pamer aksi tekal seperti dalam Kejohanan AFC lalu, tiada masalah untuk Malaysia mara," kata Zikri.

Selain skuad muda Garuda, anak buah Brad Maloney itu turut akan berdepan Laos dan Myanmar yang dilabel sebagai pasukan pengacau berdasarkan beberapa pertemuan dalam kejohanan di bawah peringkat umur sebelum ini.

Namun, skuad B-23 negara tampak tetap menjadi pilihan untuk mara ke peringkat lebih tinggi berdasarkan pencapaian dalam kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Mongolia, Oktober lalu.

Muncul juara kumpulan untuk mara ke pusingan akhir di Uzbekistan pertengahan tahun depan, kejayaan itu dianggap sebagai motivasi terbaik untuk mereka mengharungi cabaran Piala AFF di Kemboja, Februari tahun depan.

"Kalau layak ke separuh akhir sekalipun sudah cukup bersyukur -- sudah tentu kami mahu jadi juara.

"Tapi kami jarang-jarang dapat dipanggil menyertai kem latihan atas banyak faktor, jadi saya harap kami dapat buat yang terbaik.

"Kalau kami dapat sesuatu, momentum itu dapat diteruskan di peringkat lebih tinggi," kata Harith Haiqal pula.