Pemain tengah negara, Muhammad Syahmi Zamri Abdul Razak, menganggap jaringan pertamanya ketika menentang Brunei dalam Kejohanan Piala AFF B-19 di Surabaya, Indonesia, sebagai kelebihan memancing perhatian jurulatih negara, Bojan Hodak.

Dengan peluang yang telah diberikan, Syahmi mengharapkan ada kesinambungan aksi diberikan Hodak kepadanya menjelang aksi dengan Timor Leste, malam ini.

Menyedari pemilihan Hodak mungkin akan lebih terarah kepada skuad utama, hal itu tidak mematahkan semangat Syahmi.

Malah, dia menganggap dirinya mampu menbantu negara dan apa yang dimahukannya hanya peluang daripada Hodak.

"Ia jaringan pertama saya dalam perlawanan besar.

"Banyak peningkatan terhadap prestasi saya sejak diserap dalam pasukan ini, komunikasi di antara saya dan jurulatih serta rakan sepasukan bertambah baik.

"Sebelum ini, saya berasa agak kekok kerana hanya pernah beraksi di dalam negara.

"Kini, saya berpeluang menimba pengalaman dengan menentang pasukan negara lain," katanya.

Kemunculan kali pertama Syahmi di pentas antarabangsa ketika aksi dengan Brunei membawa pakej tersendiri.

Selain mencetak jaringan seawal minit kelima, pengalaman Syahmi yang merupakan pemain muda dalam skuad utama Felda United kendalian B. Sathianathan mungkin mampu membantu skuad B-19 negara dalam aksi di Gelora Joko Samudro nanti.

"Saya sebenarnya tidak sangka dapat melakukan jaringan sehingga berjaya mengambil peluang terhidang itu.

"Kalau boleh, saya ingin menyumbat lebih banyak gol lagi.

"Terpulang kepada jurulatih tetapi jika diberi peluang, saya pasti akan memberikan aksi terbaik," katanya lagi.