Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, membuat rombakan besar-besaran menjelang aksi terakhir Kumpulan B bertemu Myanmar hari ini melibatkan penggantian Akhyar Rashid, kapten pasukan, Shaiful Alias, dan penyerang, Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Selepas melewati eksperimen yang kurang tepat, Hodak akhirnya lebih drastik dalam menyusun barisan pemain menjelang pertemuan penting itu.

Ditambah dengan pengesahan kondisi Akhyar yang tidak relevan untuk beraksi, tanggungjawab di posisi itu bakal digalas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) III, Awang Faiz Hazziq Awang Fathi.

Selain Akhyar, kecederaan Anwar Ibrahim turut meletakkan pemain itu sebagai pemerhati daripada bangku simpanan.

"Ini merupakan perlawanan yang penting tetapi kami tidak dapat menurunkan Akhyar. Kami akan berusaha mencari pengganti terbaik untuk perlawanan seterusnya," kata Hodak.

Kegagalan Hadi berada di prestasi sebenar juga membuatkan pemain itu hilang tempat dalam kesebelasan utama dan akan digantikan dengan Zafuan Azeman dari Kedah.

Dalam masa sama, Nik Akif Syahiran Nik Mat turut diberikan kepercayaan menggalas tugasan selaku kapten selepas Shaful Alias hanya akan bermula di bangku simpanan.