Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, terpaksa membuat dua pertukaran pada saat-saat akhir apabila Zhafir Yusof dan Azhar Apandi mengalami kecederaan dua hari sebelum berlepas ke Surabaya, Indonesia bagi menghadapi Kejohanan AFF 2018.

Bagaimanapun, Hodak berkata situasi itu dapat diatasi dengan penggantian melibatkan pemain muda Sabah, Gerald Gadit, dan Muhammad Nizaruddin Jazi dari Melaka.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan proses penggantian tidak berhadapan dengan sebarang kesukaran.

"Azhar mengalami kecederaan buku lali dan Zhafir semalam mengalami masalah di bahagian belakang.

"Jadi, kami harus memasukkan Gerald dari Sabah dan pemain Melaka, Nizaruddin, juga akan menyertai kami," kata Hodak.

Menjelang aksi pertama dengan Kemboja, Rabu ini, Hodak merancang untuk menyaksikan sendiri perlawanan di antara pasukan itu dan Brunei di Stadium Joko Samudro esok.

"Kami akan melihat perlawanan esok dan daripada situ, kami akan membuat persiapan bagi menghadapi Kemboja," katanya lagi.

Hodak bersama 24 pemain muda negara selamat tiba di Surabaya jam 3 petang waktu tempatan hari ini.