Penjaga gol skuad bawah 19 tahun negara, Mohd Azri Abdul Ghani, nekad mahu merebut tempat kesebelasan utama dengan mengharapkan aksi menentang Kemboja, Rabu ini, sebagai penampilan pertamanya dalam Piala AFF B-19 di Indonesia.

Situasi itu bukan mudah kerana Azri perlu bersaing dengan dua lagi penjaga gol, Shafiq Afifi Suhaimi dari PKNP B-19 dan Firdaus Irman Mohd Fadhil dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), yang pernah membuat penampilan dalam Piala Sanix, Jepun, Mac lalu.

Saingan Piala AFF bukan perkara baru buat Azri, secara peribadi beberapa pemain lawan dapat dibaca pemain kelahiran Kelantan itu berpandukan pengalaman terdahulu.

Untuk itu, Azri menganggap ia sebagai kelebihan yang dimilikinya selain terpaksa mengakui kekuatan ketiga-tiga penjaga gol yang berada di Surabaya ketika ini adalah seimbang.

"Ia terpulang kepada jurulatih sebab ketiga-tiga penjaga gol sedang bersaing. Kalau jurulatih beri peluang, Insya-Allah saya akan tunjukkan yang terbaik. Kami sukar untuk mendapat tempat. Kita tengok nanti," kata Azri.

Ketika barisan kejurulatihan skuad B-19 menyasarkan kedudukan empat terbaik dalam kejohanan sebagai keutamaan, Azri tidak kekok untuk bertegas bahawa pasukan B-19 kali ini mampu membawa pulang piala buat Malaysia.

"Dengan sokongan rakan-rakan dan jurulatih, kami akan kuat dan bersatu hati untuk membawa pulang piala," katanya lagi.