Kehadiran 59,000 penyokong Harimau Malaya ke Stadium Bukit Jalil sudah cukup membuktikan bahawa penyokong-penyokong sentiasa berada di belakang skuad kendalian Kim Pan-gon dan ini sudah tentu akan menggerunkan Thailand apabila bertandang ke stadium keramat Malaysia itu dalam separuh akhir pertama Piala AFF 2023.

Ia diakui sendiri oleh pengurus pasukan Gajah Perang, Madam Pang, untuk bertandang ke Bukit Jalil kerana ia sangat memberi tekanan kepada anak-anak buahnya apabila mendengar sorakan pemain ke-12 itu.

Ia satu kelebihan kepada anak didik Pan-gon untuk mengambil kesempatan bagi mencipta kemenangan di laman sendiri.




Berdasarkan statistik terakhir pertemuan di antara kedua-dua pasukan ini di Bukit Jalil dimenangi Harimau Malaya pada 14 November 2019.

Harimau Malaya perlu menggunakan segala kelebihan untuk mencipta kemenangan, sebagaimana yang semua tahu kekuatan seimbang di setiap bahagian terutama bahagian sayap.

Dengan adanya Safawi Rasid dan Faisal Halim, ia memberi ruang kepada Darren Lok untuk melakukan penyudah melalui hantaran-hantaran lintang.

Tetapi pertahanan Harimau Malaya juga perlu berhati-hati dengan kelibat pemain sayap Gajah Perang iaitu Bordin Phala kerana pemain ini seorang pemain yang lincah dan mampu melakukan hantaran lintang yang berkualiti selain mampu melakukan penyudah.

Jika pemain ini dapat disekat daripada melakukan hantaran lintang tepat kepada Teerasil Dangda, ia akan mengurangkan tekanan kepada pertahanan Harimau Malaya bagi mengekang peledak utama Gajah Perang itu.



Berdasarkan momentum dan komitmen yang ditunjukan oleh anak didik Pan Gon selama ini mereka mampu sebenarnya untuk menyekat setiap gerakkan lawan dan tidak mustahil mereka mampu untuk membenamkan Gajah Perang di laman sendiri lagi kerana Harimau Malaya mempunyai kelebihan itu. Ia dilihat dari kemampuan melakukan jaringan oleh ramai pemain dan ini merupakan senjata utama Harimau Malaya nanti. Dengan itu penulis amat yakin Harimau Malaya boleh melakar kemenangan apatah lagi dengan kehadiran ekor Harimau Malaya nanti.