Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mempertikai keputusan pendedahan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya, minggu lalu, yang tidak memperincikan lagi punca kegagalan pasukan kebangsaan dalam Piala AFF 2020.

Bekas presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangkap pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mendakwa badan siasatan berkenaan tidak bersikap telus apabila gagal mendedahkan rombakan perancangan untuk kempen di Singapura tersebut pada saat-saat akhir.

Baginda tampil mengupas isu itu dalam satu temu bual eksklusif bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, bagi menjawab ada 'tangan ghaib' yang menjejaskan perancangan skuad kendalian Tan Cheng Hoe tersebut.

""Setahu saya, apabila saya bertanya (mengenai hala tuju Piala AFF), perancangannya ialah untuk menghantar skuad B-23, bukan pasukan utama kerana akan fokus kepada kejohanan yang lain.

"Ia untuk memberi pendedahan kepada mereka, mereka yang sepatutnya beraksi.

"Tetapi di penghujung musim, apabila awak tukar pelan, mereka (jadi) kurang semangat sebab mereka telah rancang cuti, (masa) bersama keluarga.

"Saya tahu semangat pemain agak kendur dan pada masa sama, jurulatih juga tidak memainkan peranannya, tidak kawal situasi.

"Kalau tidak, tidaklah sampai saya mendapat laporan, dengar cerita ada pemain yang tunjuk taktikal kita di papan putih.

"Benda itu tidak berlaku dalam mana-mana pasukan di dunia.

"Pemain pula boleh tunjuk taktik bola pegun?

"Macam mana benda macam ini boleh berlaku, saya cakap itu salah Tan Cheng Hoe," jawab baginda.




Lebih malang, FAM tidak menawarkan maklumat lebih lanjut mengenai pemilihan pemain, beberapa tonggaknya terutama naturalisasi digambarkan seperti tidak patriotik apabila sengaja menolak tawaran untuk mewakili negara.

"Mengapa mereka tidak jelaskan bahawa Matthew Davies terpaksa menjalani pembedahan hernia, 4cm pangkal paha Corbin Ong terkoyak, kenapa tak ada orang cakap?

"Kemudian Natxo Inxa, selepas perlawanan akhir Piala Malaysia dia terbang ke Barcelona untuk mengetahui lebih lanjut mengenai masalah jantungnya.

"Kemudian ada persepsi Tunku Mahkota Johor tidak mahu melepaskan pemain.

"Bagi saya, ini kegagalan FAM di antara jurulatih, pihak media dan penyokong.

"Ada jurang, tidak telus"