Piala AFF 2020: Indonesia tunjuk kematangan

Hasnizam Uzir
Disember 20, 2021 09:59 MYT
Apabila tewas kepada Indonesia dalam Kumpulan B, Piala AFF 2020, ramai yang mempersoalkan kemampuan sebenar skuad pilihan Tan Cheng Hoe dan ada juga yang mempertikaikan bagaiamana cara penilaian yang di buat oleh pasukan kejurulatihan skuad negara.
Ini agak terlambat sebenarnya untuk diperkatakan disebabkan apa yang berlaku telah pun berlaku dan apa yang perlu difikirkan bagaimana untuk maju ke depan.
Sekiranya melihat dari prestasi skuad kebangsaan memanglah amat mendukacita namun setiap pemain telah mencuba yang terbaik untuk menjulang nama Malaysia.
Namun, apa yang boleh kita perkatakan skuad Indonesia kali ini adalah merupakan satu pasukan yang baik disediakan oleh Shin Tae-yong dimana mereka telah membuat persiapan yang begitu rapi sebelum Piala AFF 2020 bermula.
Ini telah dibuktikan atas prestasi dan persembahan Sang Garuda itu serta komitmen yang diberikan pemain-pemainnya dan yang paling mereka berjaya apabila membawa satu permainan yang berkualiti mengikut falsafah bola sepak yang diterapkan Tae-yong.
Mereka bermain begitu kemas dan tersusun baik ketika menyerang atau bertahan, anak didiknya begitu memahami taktikal dan strategi yang dimahukannya.
Ini menunjukkan bahawa pemain-pemain Indonesia mempunyai pemikiran yang bijak dalam membuat sesuatu pertimbangan dalam membuat keputusan (Intelligence Quotient).
Kita boleh lihat sendiri bagaimana reaksi pemain-pemain Garuda yang begitu pantas bertindak selari dengan pemikirannya. Mereka sentiasa berfikir bagaimana untuk memberi dan mencari ruang yang memudahkan rakan untuk melakukan hantaran.
Begitu juga ketika bertahan, mereka cepat kembali dalam zon bertahan mereka sehingga ia menyukarkan lawan untuk menembusi pertahanan mereka.
Bagaimana mereka membentuk dan lakukan? Ini yang menjadi persoalannya dan sekiranya melihat dari tahun permulaan Tae-yong memegang jawatan bermula pada 2019 dengan membimbing pasukan B-19 dan B-23 Indonesia.
Ini menunjukkan Tae-yong membimbing pemain-pemain muda Indonesia selama dua tahun untuk memahami falsafah bola sepak yang diinginkan beliau melalui latihan yang sistematik.
Namun, Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dan kelab-kelab di Indonesia juga memainkan peranan mereka dengan mewujudkan eco sistem latihan dalam membangunkan bola sepak mereka terutama melalui sistem yang diterapkan.
Kredit imej: affsuzukicup