Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, menyifatkan penyerang naturalisasi Laos, Billy Ketkeophomphone, sebagai ancaman utama buat pasukannya menjelang pertemuan Piala AFF 2020, petang esok.

Cheng Hoe mengakui pemain kelahiran Perancis itu memiliki kualiti tersendiri sebagai seorang penggempur berkaliber berdasarkan aksinya ketika berdepan Vietnam di Singapura, kelmarin.

Billy hadir ke temasya dwitahunan itu dengan reputasi hebat selaku pemain yang pernah mewakili kelab Ligue 1 Perancis, Angers SCO.

Dia yang kini mewakili kelab divisyen dua Perancis, USL Dunkerque, menjadi pilihan utama jurulatih Laos, V. Selvaraj, untuk merobek gawang lawan.

"Billy menyerlah dalam kejohanan ini. Dia kelihatan tajam, berbahaya dan serasi dengan pasukan.

"Laos gemar memadatkan pertahanan. Bukan mudah untuk berjumpa dengan mereka.

"Kami perlu cari jalan penyelesaian," kata Cheng Hoe.





Sekalipun gagal menerjah gawang Vietnam, kelibat penyerang berketinggian 180 sentimer itu tetap diberi perhatian oleh kem Harimau Malaya menjelang pertembungan kedua Kumpulan B.

Persiapan skuad kebangsaan pula masih tertumpu kepada status penggantian penjaga gol susulan Khairul Azhan Khalid positif COVID-19.

Namun, perkembangan terbaru menyaksikan penjaga gol Selangor itu tampak masih berpeluang untuk kembali memperkuatkan skuad negara.

"Saya harap keputusan saringan terbaru mereka menunjukkan negatif dan negara penganjur membenarkan mereka untuk diturunkan," katanya lagi.

Dalam masa sama, penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat, yang sudah mengutip satu kad kuning tetap fokus dengan tugasannya sekalipun terkesan dengan kegagalan memastikan tidak dibolosi ketika menentang Kemboja, kelmarin.

"Kami menyasarkan tiga mata.

"Mungkin saya perlu berhati-hati dalam kejohanan ini selepas situasi sebelum ini

"Banyak perkara boleh terjadi dalam kejohanan ini, ditambah pula dengan (ancaman) COVID-19," katanya.