MALAYSIA 4 LAOS 0

Kudrat pemain tempatan memastikan Harimau Malaya meneruskan rentak kemenangan dalam kempen Kumpulan B, Piala AFF 2020 dengan meratah Laos 4-o di Stadium Bishan, sebentar tadi.


Safawi Rasid menjadi watak pemusnah buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe -- yang mempertaruhkan Luqman Hakim Shamsudin sebagai penyerang utama -- apabila meledak hatrik dengan menghasilkan dua gol dalam separuh masa pertama.

Malaysia membuka lima minit awal permainan dengan agak goyah dengan memberi beberapa ruang kepada bintang Laos yang berpangkalan di Perancis, Billy Ketkeophomphone, namun jaringan pembukaan Safawi pada minit ke-7 menawarkan keyakinan buat rakan sepasukannya untuk mengatur gerakan lebih kemas.

Jaringan itu terhasil melalui kerja keras dan ketenangan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia, Arif Aiman, yang merampas bola dari sayap kanan sebelum melorongkan bola ke arah pintu gol yang sudah ternganga untuk disudahkan rakan sepasukannya di Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Selepas dua tandukan Malaysia menggegar palang gol, Safawi membuktikan ketajamannya menerusi sepakan penjuru Baddrol Bakhtiar dengan menggunakan kepalanya pada minit ke-34.




Malaysia mengendurkan sedikit asakan selepas rehat, namun dengan tiga pertukaran selepas sejam permainan membangkitkan semula selera untuk merobek gawang Laos yang dibarisi pemain muda.

Kurang lima minit selepas dimasukkan, Shahrel Fikri Fauzi beberapa kali hampir menggegar jaring pasukan kendalian V. Selvaraj itu termasuk dua percubaan yang dipatahkan penjaga gol, Keo-Oudone Souvannasangso.

Harimau Malaya mengukuhkan kedudukan menerusi sumber yang tidak disangkakan apabila Shahrul Saad yang meluru ke depan sekali gus mengatasi ofsaid sebelum mudah menolak masuk bola dengan mengelirukan Souvannasangso pada minit ke-78.

Laos terus dihukum dua minit selepas itu dengan gerakan hampir serupa dan kali ini dimanfaatkan larian Safawi untuk mencetak hatrik sulungnya bersama skuad kebangsaan sebelum dia dikeluarkan oleh Guilherme De Paula.