Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John, mendedahkan bahawa saingan Piala AFC Zon ASEAN dan Asia Selatan sudahpun dibatalkan tetapi badan induk itu masih memberikan kelonggaran selama tiga hari ini seandainya ada negara memberikan kesudian saat akhir untuk menjadi tuan rumah.

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, Windsor berkata: "Kami dalam konteks untuk mencari venue dan tempoh yang diberikan hanyalah dua atau tiga hari sahaja.

"Kerana kami memerlukan persiapan dari segi logistik seandainya mahu menganjurkan perlawanan-perlawanan ini.

"Maka, kami akan memberikan tempoh dua atau tiga hari ini sebelum mengumumkan sama ada kami memilki tuan rumah atau terpaksa membatalkannya.

"Kami sudah mencari (venue) sehingga ke Asia Barat tetapi tiada mana-mana negara yang boleh menjadi tuan rumah bagi venue berkecuali.

"Itulah yang menjadi masalahnya kerana kesemua pasukan yang bertanding tidak mengemukakan permohonan secara rasmi untuk menjadi tuan rumah," katanya.

Malaysia sepatutnya diwakili Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC, masing-masing dalam Kumpuan H dan I tetapi penarikan diri Singapura selaku tuan rumah pada hujung bulan lalu meletakkan saingan berkenaan umpama telur di hujung tanduk.