Setiausaha Agung Konfiderasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John, mengakui usaha untuk mendapatkan penganjur baru bagi saingan Piala AFC menemui jalan buntu.

Ia berikutan tiada mana-mana negara yang sanggup untuk menganjurkan kejohanan itu disebabkan kekangan COVID-19, selain hasrat untuk mendapatkan pertolongan dari venue berkecuali juga gagal.

Kejohanan itu dirancang diadakan dengan format gelembung sukan tetapi Singapura terpaksa membatalkan kempen Kumpulan H dan I yang turut membabitkan wakil Liga Malaysia (Liga-M), Kedah dan Terengganu gara-gara lonjakan kes di negara Seberang Tambak itu.

Justeru, Jawatankuasa Pertandingan AFC akan membuat keputusan selewat-lewatnya minggu depan.

Dia juga tidak menolak kemungkinan penganjuran akan ditunda pada satu tarikh lain.

"Kami sudah mencuba semua aspek.

"Paling akhir sekali kami akan bawa perkara ini ke Jawatankuasa Pertandingan AFC yang mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan, sama ada teruskan, cari tarikh lain atau apa sahaja keputusan yang patut dibuat," kata Windsor dalam temu bual bersama Nadi Arena sebentar tadi.

Tambahnya, segala keputusan juga perlu mempertimbangkan saingan domestik masing-masing.

"Kalau boleh kami tidak mahu banyak kali sangat tukar tarikh.

"Kami terpaksa cari venue berkecuali tetapi buat masa ini, pembatalan kejohanan bukan satu perbincangan dalam (agenda) AFC."