Penjaga gol Kuala Lumpur City, Kevin Mendoza, berharap Piala AFC akan menjadi pemangkin buat mereka selepas prestasi terumbang-ambing dalam saingan domestik.

The City Boys -- yang memenangi tiket menerusi Piala Malaysia 2021 -- berdepan ujian sulung Kumpulan H divisyen kedua saingan Asia itu apabila berentap dengan PSM Makassar di Stadium KLFA, malam esok.

Mendoza beraksi cemerlang musim lalu dengan 13 perlawanan tanpa bolos sepanjang musim termasuk enam kali dalam Piala Malaysia.

Namun, pemain berusia 28 tahun itu mengkui prestasi pasukannya belum tekal musim ini selepas mencatat empat kemenangan dalam 10 perlawanan, lantas berharap segalanya akan berubah bermula perlawanan menentang Makassar sebelum bertemu Tampines Rovers, Khamis depan.

"Musim lalu kami juga melalui permulaan sukar tetapi kami terus berkembang selepas itu.

"Saya harap kami dapat buktikan kepada semua bahawa kami berkemampuan dan bersedia," katanya dalam sesi latihan di Cheras hari ini.







Bagaimanapun, dia tidak terlepas berasa gemuruh untuk berdepan kelab dari luar Malaysia terutama daripada Liga Indonesia yang kurang diikutinya.

"Kami mahu bersaing dengan antara yang terbaik dalam Asia.

"Apabila mewakili Filipina, sangat menakjubkan berpeluang beraksi di samping pemain terbaik," katanya.

Sementara itu, pengendali Kuala Lumpur, Bojan Hodak, sudah memberi tugasan tertentu kepada barisan pemainnya dalam usaha membuat langkah positif.

"Saya menjangkakan anak buah saya amat menantikan kempen Piala AFC memandangkan kebanyakan mereka jarang diturunkan jadi mereka pasti ingin mencapai sesuatu.

"Mereka mempunyai dua pemain asing yang baru. Biarpun masih baru tapi mereka pasti berbahaya sekiranya diberikan ruang.

"Adik beradik, Yance dan Yakon Sayuri, tidak putus-putus berlari di bahagian sayap jadi kami perlu sekat mereka.

"Pemain baru dari Jepun (Kenzo Nambu) walaupun kurang beraksi, saya sempat memantau permainannya di Thailand sebelum ini, oleh itu Makassar masih pasukan yang sangat handal.

"Kami perlu menguasai bahagian tengah,lebih-lebih lagi Muhammad Arfan menjadi nadi mereka.

"Kami perlu mengekang perkara ini dan adik beradik Sayuri, saya percaya ini merupakan tugas utama kami," katanya.