Kapten Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue, berkata pasukannya tidak gentar untuk beraksi di laman ATK Mohun Bagan dalam perlawanan separuh akhir antara zon, Piala AFC 2022 di Kolkata, Rabu ini.

Baginya, pasukan Warga Kota itu sudah melalui persiapan terbaik bagi menghadapi perlawanan itu sejak menjuarai saingan Zon ASEAN dengan menewaskan pasukan Indonesia, PSM Makassar, bulan lalu.

Menyedari Mohun Bagan akan memanfaatkan aksi di depan penyokong sendiri, Josue, bagaimanapun, percaya pasukannya mampu memberikan aksi terbaik berdepan wakil Asia Selatan itu.

"Kamni sudah bersedia sejak perlawanan terakhir menentang Sabah FC (dalam Liga Super). Kami sudah mula mengkaji mengenai Mohun Bagan," katanya kepada Astro Arena.

"Kami melalui penerbangan panjang untuk ke India, di mana ia agak mencabar.

"Kami tidak mempunyai banyak maklumat mengenai pasukan itu dan ia hanya berdasarkan analisis yang dilakukan barisan jurulatih.

"Kami tahu mereka mempunyai pemain kebangsaan di bahagian serangan yang amat bagus, jadi kami perlu berwaspada mengenainya.

"Kami masih ada masa untuk menyesuaikan diri di sini dan bersedia untuk hari perlawanan.

"Mereka mempunyai penyokong yang ramai dan stadium yang besar, jadi sudah pasti ia akan melonjakkan semangat dan prestasi mereka.

"Tetapi kami sudah bersedia dengan amat baik dan mampu menghadapinya sebagai satu pasukan," katanya.