Piala AFC: KL City teruskan kemaraan ke final zon ASEAN

Ammar Hakim
Ogos 10, 2022 14:25 MYT
Kuala Lumpur City FC berjaya membawa cabaran ke final zon ASEAN Piala AFC selepas mengatasi Viettel FC menerusi penentuan penalti di Stadium Thong Nhat sebentar tadi.
Pasukan tuan rumah menghadirkan aksi yang lebih cemerlang sejak permulaan permainan, deretan percubaan demi percubaan menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak hampir dibolosi.
Pertahanan KL City FC, Irfan Zakaria memastikan kedudukan kekal 0-0 selepas berjaya menyekat gerakan pemain Viettel FC yang cuba mara menuju ke gawang mereka pada minit ke-36.
Bersambung separuh masa kedua, kedua-dua pasukan masih gagal mencari gol dan tuan rumah sekali lagi menguji kemampuan penjaga gol KL City FC, Azri Ghani yang berjaya menafikan percubaan Nguyen Dunc Hoang Minh pada minit ke-66 disusuli rembatan Nham Manh Dung pada minit ke-73.
Perlawanan kekal hingga tamat perlawanan 90 minit dan diheret ke masa tambahan. Skrip yang sama berulang menyaksikan tamat 120 minit tempoh permainan dan penentuan penalti menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan bagi melangkah ke final.
Kegagalan dua pemain Viettel FC, Tran Danh Trung dan Bui Duy Thuong menyempurnakan sepakan penalti memberikan skuad bimbingan Bojan Hodak ke final berdepan satu lagi finalis zon ASEAN, PSM Makassar.
#Piala AFC #KL City FC