PSM MAKASSAR 0 KUALA LUMPUR 0

Kem Kuala Lumpur City menganggap ujian sulung mereka dalam Kumpulan H, Piala AFC berakhir dengan nota positif biarpun terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan PSM Makassar, sebentar tadi.


Skuad kendalian Bojan Hodak itu melayani kunjungan kelab Indonesia berkenaan di Stadium KLFA dengan mendominasi sejak awal permainan dengan mengetengahkan jentera serangan yang ditunjangi Kevin Koubemba dan Roman Morales.

Namun, The City Boys bernasib baik apabila penjaga gol, Kevin Mendoza, tidak dihukum sepakan penalti ketika cuba mematahkan serangan Makassar pada awal separuh masa pertama selain sepakan lencong Yance Sayuri dari sudut kiri yang singgah ke tiang gawang tuan rumah.

Selepas hampir sejam permainan, gerakan Makassar makin mengendur dan ia memberi ruang untuk Hodak mengetengahkan formasi tiga pertahanan.

Mereka terus menghasilkan beberapa peluang menarik khususnya daripada ketua pasukan Kuala Lumpur, Paulo Josue, tetapi terus buntu hingga wisel.

"Kami gembira dengan persembahan malam ini, semua pemain beraksi baik, kami bekerja keras.

"Bukannya kami tidak mempunyai peluang, percubaan kami terkena palang dan tiang.

"Di penghujung harinya keputusan 0-0, kami agak kecewa tapi ia satu permulaan yang baik.

"Kami agak terkejut kerana kami jangka mereka akan mengatur serangan tapi saya faham situasinya jika sesebuah kelab itu belum memulakan liga.

"Tapi kami tidak terlalu memikirkan kemampuan Makassar, kami cuma mahu serang, jaringkan gol dan menang," kata pemain tengah Kuala Lumpur, Kenny Pallraj, selepas perlawanan.




Bekas pemain Perak itu menganggap andai deretan peluang pada awal permainan tersebut dimanfaatkan, skrip permainan pasti berbeza, sekali gus meletakkan mereka dalam situasi lebih selesa menjelang perlawanan kedua dengan Tampines Rovers, Khamis depan, sambil Makassar akan berdepan kelab Singapura berkenaan, Isnin ini.

"Kami mempunyai beberapa peluang menarik termasuk yang menggegar palang gol, saya pasti ia boleh menjadi titik tolak untuk menyumbat lebih banyak gol.

"Kami akan lebih tertekan selepas ini memandangkan sudah tahu keputusan perlawanan lain dengan awal.

"Bagaimanapun, seperti lazimnya dalam setiap perlawanan, kami mahukan tiga mata termasuk bertemu Tampines Rovers," katanya.

Keputusan Kumpulan G:

BALI UNITED 2 KEDAH DARUL AMAN 0