Dua wakil negara dalam Piala AFC, Kedah Darul Aman dan Terengganu melahirkan kegusaran yang bakal diharungi, iaitu jadual yang lebih padat sekiranya AFC mengumumkan penundaan kejohanan itu penarikan diri Singapura sebagai tuan rumah.

Ia situasi yang cukup sukar tatkala Sang Penyu sedang bersiap untuk menghadapi saingan bagi zon ASEAN itu bermula 30 Jun ini.

Terengganu diletakkan dalam Kumpulan I di samping Geylang International dari Singapura, Kaya FC (Filipina) dan satu lagi pasukan daripada perlawanan play-off.

Pengurus Terengganu, Zul Fadli Rozi, menganggap mustahil untuk Skuad Peteh menawarkan diri sebagai tuan rumah memandangkan situasi negara yang turut tidak terkawal dengan COVID-19.

"Ada beberapa kriteria untuk menganjurkan Piala AFC kali ini perlu memenuhi syarat yang ditetapkan Kerajaan Malaysia.

"Untuk menjadi tuan rumah, kami perlu benarkan pasukan yang bertandang ke sini hanya menjalani kuarantin selama tiga hari sahaja.

"Itu syarat yang ditetapkan AFC tetapi tempoh kuarantin negara kita masih ditetapkan selama 14 hari.

"Ini bukan sahaja melibatkan antara kelab-kelab, malah membabitkan dasar kerajaan dalam suasana COVID-19 yang makin membimbangkan ini," katanya kepada wakil Astro Arena, Adam Zamri, hari ini.



Lang Merah pula masih menanti pengumuman rasmi tarikh baru oleh AFC.

Kedah sepatutnya memulakan kempen Kumpulan H bersama Saigon FC, Lions City Sailors dan satu lagi pasukan dari aksi play-off, bermula 29 Jun hingga 5 Julai depan.

Namun jika ditunda ke tarikh baru, ia bakal bertembung dengan kancah Liga Super yang akan kembali bersambung pada Julai depan.

"Situasi kami dan Terengganu sama sahaja.

"Kami perlukan masa yang sesuai agar mempunyai masa rehat kerana kami mempunyai perlawanan yang lebih berbanding pasukan lain (dalam Liga Super).

"Jadi kami memerlukan sedikit budi bicara daripada MFL (Liga Bolasepak Malaysia) untuk beri ruang kepada Kedah dan Terangganu -- sesuai dengan perjalanan pasukan kami," kata pengurus wakil utara itu, Kamal Idris Ali.