Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa mengharungi kekalahan pertama dalam saingan Kumpulan F Piala AFC selepas tewas 2-3 kepada Global FC di Filipina, malam ini.

JDT berazam untuk mengekalkan kedudukan teratas kumpulan tetapi Global -- yang tewas 0-4 kepada JDT pada 14 Mac lalu -- ingin membalas dendam dan itulah yang dilakukan pasukan Filipina ini.

Dennis Villanueva membuka tirai jaringan pada minit ke-27 untuk memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah.

Ia membangkitkan semangat Global yang inginkan kemenangan di laman sendiri dan hanya lima minit kemudian giliran Shu Sasaki pula menggandakan jaringan.

Benteng pertahanan JDT semakin goyah apabila berselang tiga minit kemudian Amani Aguinaldo menjaringkan gol ketiga Global.

Selepas itu, Gabriel Guerra berjaya menjaringkan gol pertama JDT dan misi untuk mengejar jaringan bermula untuk Harimau Selatan.

JDT bangkit dan Guerra sekali lagi bertanggungjawab menggandakan jaringan tetapi gagal untuk menyamakan kedudukan dan keputusan 2-3 kekal hingga penamat.