JDT 2 TAMPINES 1

Johor Darul Ta'zim (JDT) membuka semula peluang mereka untuk meneruskan saingan dalam Piala AFC selepas merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Tampines Rovers di Stadium Tan Sri Hassan Yunos
, sebentar tadi.

Selepas mengharungi tiga perlawanan, JDT hanya memungut empat mata dan menyaksikan mereka berada di tangga ketiga di belakang Persija Jakarta (Indonesia) dan Song Lam Nghe An (Vietnam).

Menyedari hanya kemenangan memastikan mereka berpeluang untuk terus bersaing, anak buah Raul Longhi itu mempamerkan aksi cemerlang sejak awal permainan apabila membuka jaringan menerusi rembatan Safawi Rasid pada minit ke-12.

Pelawat berjaya menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa apabila pengadil memberikan sepakan penalti kerana pertahanan JDT, La'Vere Corbin-Ong tersentuh bola dalam kotak penalti dan Khairul Amri Mohammad Kamal tenang menyempurnakan jaringan.

Aksi semakin rancak dalam babak kedua perlawanan, dengan JDT melakukan asakan bertali arus untuk memecah benteng pertahanan lawan.

Hasilnya, pasukan tuan rumah meraih gol kemenangan pada minit ke-79 apabila Ahmad Hazwan Bakri menampan masuk hantaran Natxo Insa, sekali gus memberikan tiga mata penuh buat Harimau Selatan.

Dalam pertembungan lain Kumpulan H, Persija Jakarta meraih kemenangan 1-0 ke atas Song Lam Nghe An, yang menyaksikan tiga pasukan masing-masing menghimpun tujuh mata dan hanya dibezakan dengan jaringan manakala Tampines di tangga tercorot.

Kredit: Johor Southern Tigers