Barisan pelapis negara kendalian E. Elavarasan dijadual bertemu Indonesia dan Timor-Leste dalam Kumpulan B, Piala AFC B-23 di Chonburi, Thailand, Ogos depan.

Ini merupakan kali ketiga berturut-turut buat kem negara diundi bersama pasukan Garuda Muda seawal saingan di peringkat kumpulan.

Dalam edisi 2022, penyertaan Indonesia dibatalkan berikutan COVID-19 yang melanda kem pasukan itu.

Kredibiliti skuad Garuda Muda ini tidak boleh dipandang sepi apabila mereka memegang status selaku juara edisi 2019 selain cemerlang dinobatkan juara ibu segala pingat dalam Sukan SEA Kemboja, awal bulan ini.

Ia satu petanda jelas bahawa anak buah Elavarasan perlu segera merencana strategi berkesan bagi menghakis keampuhan skuad Indonesia.

Cabaran Timor-Leste juga tidak boleh dipandang enteng berdasarkan reputasi mereka selaku semifinalis edisi 2022.




Malaysia -- yang meraih tempat keempat dalam pertama kejohanan pada 2005 -- perlu merebut sama ada slot juara kumpulan atau muncul sebagai naib juara kumpulan terbaik untuk layak ke separuh akhir.